TELAH
ADA ALLAH DAN TIADA SESUATU BESERTA-NYA. DAN, DIA KINI ADALAH TETAP
SEBAGAIMANA ADANYA.
Pada martabat zat, segala sifat, nama dan
semua kewujudan lenyap di dalamnya, tidak boleh disaksi dan ditakbir lagi.
Selagi boleh disaksi dan ditakbir ia masih lagi sifat bukan zat. Apabila
sampai kepada perbatasan: “Lemah mengadakan pendapat tentang zat Ilahiat”,
seseorang tidak ada pilihan melainkan mengakui wujudnya zat Wajibul Wujud
(Wajib Wujud) kerana jika tidak wujud zat nescaya tidak ada sifat dan tidak
ada kejadian atau perbuatan. Seorang bukan ahli kasyaf bermakrifat dengan
akalnya dan beriman kepada zat Wajibul Wujud setelah terjadi kebuntuan
akalnya mengenai hal ketuhanan pada suasana yang diistilahkan sebagai Wahadiyyah
atau suasana pentadbiran Ilahi yang juga dipanggil Rububiah. Akal menyaksikan
Rububiah atau hal ketuhanan yang menggerakkan sekalian makhluk. Peringkat
kesudahan pencapaian akal dan ilmu makhluk dinamakan Hijab al-‘Izzati atau
benteng keteguhan. Ilmu sekalian orang alim dan arif terhenti di sini.
Zat Allah s.w.t tidak diketahui oleh makhluk kerana Dia tidak termasuk
di dalam sempadan maklumat, pendapat dan kenyataan. Allah berfirman :
Dan Allah perintahkan supaya kamu beringat-ingat terhadap kekuasaan diri-Nya (menyeksa kamu). ( Ayat 30 : Surah a-li ‘Imran )
Rasulullah s.a.w bersabda:
Semua kamu (yang berfikir) tentang Zat Allah adalah orang dungu.
Percubaan akal untuk menembusi Hijab Keteguhan
adalah sia-sia. Jika dipaksa juga tidak ada yang ditemui melainkan kemungkinan
menjadi gila.
Begitulah makrifat Allah s.w.t melalui
akal. Makrifat dengan akal menjadi asas kepada makrifat melalui zauk atau
pandangaan mata hati. Ahli Allah s.w.t meningkatkan imannya dengan membenamkan
dirinya ke dalam ibadat dengan bersungguh-sungguh. Mereka berpuasa pada
siang hari dan bersembahyang pada malam hari. Ada antara mereka yang bersembahyang
lebih 500 rakaat sehari, khatam membaca al-Quran tiap-tiap hari dan berpuasa
sepanjang tahun. Sekiranya Allah s.w.t izinkan, mereka akan mengalami hakikat
wujud Zat Allah s.w.t yang sukar untuk dihuraikan.
Pengalaman makrifat menurut akal
berhenti pada kenyataan: “Semata-mata zat, yang maujud hanya Wajibul Wujud”.
Pengalaman makrifat secara zauk pula berakhir pada: “Zat yang kosong dari
makhluk, yang maujud hanya Allah s.w.t. Telah ada Allah s.w.t dan tiada
sesuatu beserta-Nya. Dia kini adalah tetap sebagaimana dahulunya ”.
Ungkapan ini bukan untuk dibahaskan
atau dihuraikan dengan terperinci kerana ia telah melepasi sempadan ilmu.
Ia adalah pengalaman rohani, dinamakan penyaksian hakiki mata hati, tatkala
hilang rasa wujud diri dan sekalian yang maujud, hanya Wujud Allah s.w.t
yang nyata, semata-mata Allah s.w.t dan segala-galanya Allah s.w.t. Keadaan
ini dicapai setelah melepasi makam-makam ilmu, amal, berserah diri, reda,
ikhlas, lalu masuk ke dalam makam tauhid yang hakiki dan pengalaman tauhid
yang hakiki itulah yang dinyatakan oleh Hikmat 46 di atas.
Telah
ada Allah s.w.t dan tiada sesuatu beserta-Nya.
Allah s.w.t kini adalah Allah s.w.t yang dahulu juga.
Allah s.w.t kini adalah Allah s.w.t yang dahulu juga.
Pengalaman rohani adalah aneh menurut kacamata
akal. Ia adalah satu keadaan terlepasnya ikatan kesedaran terhadap
diri sendiri dan dikuasai oleh kesedaran yang lain. Jika mahu memahami
akan kesedaran-kesedaran yang mempengaruhi kesedaran manusiawi itu terlebih
dahulu perlulah difahami tentang kejadian manusia itu. Manusia yang bertubuh
badan boleh diistilahkan sebagai alam jasad. Alam jasad mendiami alam dunia.
Hubungan yang rapat antara alam jasad dengan alam dunia menyebabkan pengaruh
alam dunia kepada alam jasad sangat kuat. Alam jasad menerima pengaruh
alam dunia dan menganggapnya sebagai kesedaran dirinya sendiri. Ia tidak
dapat lagi membezakan antara kesedaran jasad yang asli dengan kesedaran
duniawi yang menguasainya.
Alam dunia pula berada di dalam Alam
Malakut (alam malaikat). Alam Malakut menguasai alam dunia dan alam jasad.
Tenaga malaikat-malaikat menjadi tenaga kepada dunia dan jasad yang menyebabkan
dunia dan jasad boleh bergerak. Sistem yang berjalan rapi di dunia dan
jasad adalah disebabkan oleh tenaga malaikat yang bekerja dengan tepat
mengawalnya. Sedutan udara, kerlipan mata, peredaran darah, pertumbuhan
rambut dan kuku, pergerakan otot dan semuanya adalah hasil daripada tindakan
malaikat walaupun manusia tidak menyedarinya. Perjalanan matahari, penurunan
hujan, tiupan angin dan semua aktiviti benda-benda dunia terhasil daripada
tindakan malaikat-malaikat. Perkaitan antara jasad, dunia dan malakut adalah
umpama sebatang pokok kelapa di atas sebuah pulau di dalam laut. Pokok
kelapa tidak terpisah dari pulau dan tidak terpisah dari laut. Air laut
meresap ke dalam tanah pulau dan air yang sama juga meresap ke dalam akar,
batang, daun dan seluruh pokok kelapa. Pokok kelapa memperolehi tenaga
pertumbuhan dari air laut yang meresap ke dalamnya. Begitulah ibaratnya
tenaga malaikat yang menjadi sistem aktiviti manusia.
Alam Malakut dengan segala isinya
termasuklah dunia dan jasad berada di dalam Alam Jabarut. Jabarut bukanlah
alam seperti yang difahamkan. Jabarut bermakna sifat Allah s.w.t. Ini bermakna
malakut, dunia dan jasad adalah kesan daripada keupayaan sifat atau dikatakan
juga perbuatan yang dihasilkan oleh sifat. Jabarut pula dikuasai oleh Lahut
iaitu Zat Ilahiat. Malakut, dunia dan jasad diistilahkan sebagai sekalian
alam, merupakan perbuatan yang dikuasai oleh sifat dan sifat pula dikuasai
oleh zat. Ini bermakna tidak putus perkaitan di antara Lahut kepada Jabarut
kepada malakut kepada dunia dan kepada jasad.
Jika dilihat kepada lapisan yang
paling luar akan kelihatanlah pergerakan benda-benda. Jika direnungkan
kepada lapisan yang lebih mendalam sedikit kelihatanlah pula pergerakan
benda-benda dihasilkan oleh tenaga malaikat. Jika dilihat kepada lapisan
yang lebih mendalam akan kelihatan pula pergerakan benda-benda dan tenaga
malaikat merupakan perbuatan Tuhan. Jika dilihat kepada lapisan yang lebih
dalam akan kelihatan pula sekalian perbuatan Tuhan itu adalah kesan daripada
keupayaan sifat Allah s.w.t. Jika dilihat kepada lapisan yang paling dalam
akan kelihatanlah bahawa sekalian alam yang muncul kerana perbuatan Tuhan,
perbuatan pula lahir daripada keupayaan sifat Tuhan dan sifat pula bersumberkan
zat Ilahiat. Jika dilihat semuanya tanpa terdinding antara satu dengan
yang lain maka kelihatanlah bahawa zat Ilahiat menguasai segala sesuatu.
Apabila semuanya sudah sempurna kedudukannya
maka Allah s.w.t mengwujudkan sesuatu yang sangat istimewa. Ia adalah roh
manusia. Roh manusia adalah sesuatu yang dari Allah s.w.t, tiupan Roh Allah
s.w.t, berkait dengan Zat Allah s.w.t, tidak boleh dinisbahkan kepada apa
sahaja melainkan kepada Allah s.w.t, tetapi ia bukanlah Allah s.w.t kerana
“Tiada sesuatu yang menyamai-Nya”. Roh manusia yang dinisbahkan kepada
Allah s.w.t inilah yang paling mulia:
Kemudian apabila Aku sempurnakan kejadiannya (Adam), serta Aku tiupkan padanya roh dari (ciptaan)-Ku maka hendaklah kamu sujud kepadanya. ( Ayat 72 : Surah Saad )
Kemuliaan roh manusia yang Allah tiupkan
dari Roh-Nya menyebabkan malaikat-malaikat kena sujud kepada Adam. Roh
pada martabat ini adalah urusan Allah s.w.t:
Katakanlah: “Roh itu dari perkara urusan Tuhanku”. ( Ayat 85 : al-Israa’ )
Bagaimana atau apakah perkaitan roh dengan
Allah s.w.t? Perkaitannya adalah Rahsia Allah s.w.t yang manusia tidak
diberi pengetahuan mengenainya kecuali sedikit sahaja. Roh pada martabat
Rahsia Allah s.w.t inilah yang sudah mengenal Allah s.w.t dan menyaksikan
bahawa:
Sesungguhnya Allah Maha Esa. Tiada sesuatu beserta-Nya.
Sesungguhnya Allah Maha Esa. Tiada sesuatu beserta-Nya.
Roh yang berkait dengan Allah s.w.t menghadap
kepada Allah s.w.t dan dikuasai oleh kesedaran yang hakiki atau penglihatan
rohani yang hakiki atau kesedaran tauhid yang hakiki.
Roh urusan Allah s.w.t itu kemudiannya
berkait pula dengan perbuatan Allah s.w.t iaitu alam. Unsur alam yang menerima
perkaitan dengan roh urusan Allah s.w.t itu dinamakan roh juga. Roh jenis
kedua ini menghuni alam seperti makhluk Tuhan yang lain juga. Tempat roh
tersebut ialah Alam Arwah {alam roh}. Roh yang mendiami Alam Arwah ini
kemudiannya berkait pula dengan jasad. Jasad yang berkait dengan roh menjadi
hidup dan dipanggil manusia. Perjalanan dari atas ke bawah ini dinamakan:
Kami datang dari Allah s.w.t.
Oleh sebab manusia datang dari Allah s.w.t
mereka berkewajipan pula kembali kepada Allah s.w.t.
Kepada Allah s.w.t kami kembali.
Perjalanan kembali kepada Allah s.w.t hendaklah
dilakukan ketika jasad masih lagi diterangi oleh roh iaitu ketika kita
masih hidup di dalam dunia. Apabila roh sudah putus hubungannya dengan
jasad, tidak ada lagi peluang untuk kembali kepada Allah s.w.t. Sesiapa
yang buta (hati) di dunia akan buta juga di akhirat, malah lebih buruk
lagi. Hamba Allah s.w.t yang menyedari kewajipannya akan berusaha bersungguh-sungguh
untuk kembali kepada Allah s.w.t ketika kesempatan masih ada. Syariat diturunkan
supaya manusia tahu jalan kembalinya. Orang yang berjuang untuk kembali
kepada asalnya melepaskan kesedaran alam bawah yang menguasainya. Dia masuk
kepada kesedaran malaikat. Kemudian dia keluar dari kesedaran malaikat
dan masuk kepada kesedaran roh yang murni dan seterusnya masuk kepada kesedaran
roh yang menjadi Rahsia Allah s.w.t dan kembali menyaksikan Yang Hakiki
sebagaimana telah disaksikannya sebelum berkait dengan jasad dahulu. Keluarlah
ucapannya:
Telah ada Allah s.w.t (sebagaimana ia menyaksikan sebelum berkait dengan jasad) dan tiada sesuatu yang menyertai-Nya (sebagaimana disaksikannya dahulu). Dan Dia kini (sedang disaksikannya semula) sama seperti ada-Nya (seperti yang disaksikannya dahulu).
Keadaannya adalah seperti orang yang melihat
kepada sesuatu, kemudian dia memejamkan matanya seketika. Bila dia membuka
matanya semula dia melihat sesuatu yang sama berada dihadapannya.
Tahulah dia bahawa pengalaman semasa memejam mata itu sebenarnya gelap,
majazi atau khayalan. Dia kembali melihat yang benar setelah matanya terbuka.
Jadi, seseorang hanya boleh melihat Yang Hakiki setelah kembali kepada
keasliannya iaitu dia kembali melihat dengan penyaksian hakiki mata hati.
Hikmat 46 di atas walaupun pendek tetapi
menggambarkan perjalanan datang dan pergi yang sangat jauh, bermula dari
Allah s.w.t, sampai kepada dunia dan jasad, kemudian kembali semula kepada
Allah s.w.t.
Perjalanan yang telah diceritakan di atas
adalah pengalaman rohani bukan perpindahan jasad dari satu tempat kepada
tempat yang lain. Orang yang sedang mengalami hal yang demikian masih berada
di bumi, masih bersifat sebagai manusia, bukan ghaib daripada pandangan
orang lain. Hanya perhatian dan kesedarannya terhadap yang selain Allah
s.w.t ghaib dari alam perasaan hatinya. Pengalaman rohani tersebut memberinya
kefahaman dan pengenalan tentang Tuhan. Makrifatullah melalui pengalaman
rohani jauh lebih kuat kesannya kepada hati daripada makrifatullah melalui
pandangan akal. Akal yang mengenali Allah s.w.t bersifat Maha Melihat dan
Mendengar melahirkan kewaspadaan pada tindakan dan tingkah-laku. Makrifat
tentang Allah Maha Melihat dan Mendengar yang dialami secara kerohanian
menyebabkan gementar dan kecut hati sehingga ketara pada tubuh badan seperti
pucat mukanya dan menggigil tubuhnya.
Pengalaman kerohanian tentang Allah Maha
Esa menanamkan pengertian pada hati mengenai keesaan Allah s.w.t. Pengertian
yang lahir secara demikian menjadi keyakinan yang teguh, tidak boleh dibahas
atau ditakwilkan lagi.
No comments:
Post a Comment